Life News Agency

every story is about real news, real people and real event

PERDANA MENTERI LANCAR BUKU “APA HABAQ ORANG MUDA?” VERSI BAHASA JEPUN

KYOTO, 7 Sept. – Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan buku Apa Habaq Orang Muda? terjemahan ke bahasa Jepun yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), DuBook Press serta Japan-Malaysia Association (JMA) dalam satu majlis yang
diadakan di Kyoto, sempena lawatan kerja tiga hari Perdana Menteri ke Jepun, hari ini.

Buku Apa Habaq Orang Muda? tulisan Chedet (nama pena Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Mat Rodi (atau nama sebenarnya Radzi Tajuddin) ini diterbitkan pertama kali dalam bahasa Melayu pada 2016. Buku ini merupakan koleksi ungkapan menyengat, bersemangat dan menarik daripada himpunan teks ucapan, temu bual dan penulisan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

Buku ini memuatkan segala pesanan, pengajaran dan peringatan beliau mengenai demokrasi, perpaduan, pendidikan, budaya, perjuangan dan sistem nilai yang harus dilihat dan dihadamkan oleh generasi muda yang merupakan golongan pelapis kepada tampuk kepimpinan negara pada masa
akan datang. Selain itu, buku ini turut mengandungi komentar dan ulasan dari sudut pandang anak muda melalui penulisan Mat Rodi terhadap apa yang diungkapkan melalui pemikiran, pandangan dan semangat Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disusun dalam buku ini.

Inisiatif yang diambil melalui kerjasama penerbitan ini antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat Jepun, khususnya golongan muda di negara tersebut untuk memahami dan lebih
mendalami pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang tokoh negara Malaysia yang disegani dan dihormati melalui pemikiran dan kepimpinan beliau menerajui negara. Selari dengan tujuan tersebut, buku Apa Habaq Orang Muda? edisi bahasa Jepun ini dijangka akan dipasarkan secara meluas di 70 buah rangkaian kedai buku Kinokuniya seluruh Jepun pada penghujung September 2019 ini.

Usaha penterjemahan dan pemasaran buku ke peringkat antarabangsa merupakan salah satu bentuk apresiasi terhadap karya Malaysia. Sebagai sebuah badan penterjemahan, ITBM sentiasa komited meneruskan usaha untuk memastikan gerakan penterjemahan bergiat lebih aktif, terutamanya penterjemahan karya Malaysia ke bahasa Jepun dan sebaliknya.

ITBM turut melihat bidang keutamaan yang akan diberikan perhatian seperti penterjemahan buku tentang budaya dan nilai hidup masyarakat Jepun serta budaya kerja Jepun sebagaimana yang disarankan oleh YAB Tun Dr, Mahathir Mohamad, yang mengagumi dan menyanjung masyarakat
Jepun. Malah, usaha penterjemahan dan penerbitan buku antara Malaysia dan Jepun ini juga penting bagi mengukuhkan hubungan bilateral antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang keilmuan
dan perkongsian budaya.

Majlis pelancaran buku ini turut dihadiri Tuan Yang Terutama Dato’ Kennedy Jawan, Duta Malaysia ke Jepun; Encik Radzi Tajuddin (Mat Rodi), penulis bersama buku Apa Habaq Orang Muda?; Encik Sakri Abdullah, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM; Encik Masaya Yumoto, Pengarah & Pengurus Besar Umeda Main Store, Kinokuniya Co. Ltd. dan Encik Takuji Arai, Pengarah Eksekutif JMA.


Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi Puan Siti Rafiah Sulaiman (Institut Terjemahan & Buku Malaysia) di talian +60341451900 atau e-mel s.rafiah@itbm.com.my.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *