Life News Agency

every story is about real news, real people and real event

10 PENERBIT UNIVERSITI SASAR JUALAN HAK CIPTA 30 JUDUL DI PESTA BUKU ANTARABANGSA INDONESIA

Kunjungan hormat delegasi penerbit Malaysia yang diketuai Sakri Abdullah, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM (empat dari kiri) bertemu Duta Besar Malaysia di Indonesia, Tuan Yang Terutama Zainal Abidin Bakar (tiga dari kanan).

JAKARTA, 5 Sept. – Selari dengan saranan Menteri Pendidikan agar universiti awam di Malaysia menggiatkan usaha penterjemahan dan pengantarabangsaan karya universiti, sebanyak 10 penerbit universiti menyertai delegasi penerbit Malaysia ke Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2019. Pesta buku yang berlangsung bermula 4 hingga 8 September 2019 di Balai Sidang Jakarta, Senayan, Indonesia ini telah disempurnakan pembukaannya oleh Bapak Anies Baswedan, Gubenor Jakarta dalam satu majlis yang berlangsung pada hari pertama pesta buku
dibuka, iaitu 4 September 2019.

Delegasi penerbit Malaysia yang diketuai oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini disertai oleh penerbit universiti awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Universiti Utara Malaysia (UUM); Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS); Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Selain itu, delegasi kali ini turut disertai
buat kali pertama dari universiti swasta, iaitu Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM). Penyertaan kali pertama KUPTM dalam pesta buku antarabangsa ini menyasarkan untuk membentuk kerjasama dengan universiti awam dan swasta di Indonesia bagi usaha menggalakkan pelajar dari negara berkenaan untuk mengikuti pengajian serta kursus yang ditawarkan oleh KUPTM.

Dengan pengalaman dan tawaran judul terbaik dari setiap universiti terlibat, penyertaan delegasi penerbit Malaysia dalam Pesta Buku Antarabangsa Indonesia kali ini menyasarkan jualan hak cipta sebanyak 30 judul karya Malaysia di pasaran Indonesia. Selain itu, usaha jalinan kerjasama penerbitan dan pemasaran buku dengan penerbit Indonesia serta penerbit antarabangsa lain turut menjadi agenda utama dalam penyertaan ke pesta buku ini. Usaha ini antaranya adalah untuk menyebarluaskan ilmu dan pemikiran penulis Malaysia, terutamanya dalam kalangan ahli akademik, dalam bentuk penerbitan ke pasaran antarabangsa. Malah, usaha ini juga bakal menjadi inisiatif silang budaya untuk menggiatkan lagi usaha memahami kepelbagaian budaya serantau selain membina hubungan antara negara yang lebih berbentuk keilmuan dan pengetahuan.

Terdahulu, wakil daripada delegasi penerbit Malaysia turut mengadakan kunjungan ke pejabat Kedutaan Besar Malaysia Jakarta untuk bertemu dengan Tuan Yang Terutama Zainal Abidin Bakar, Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Dalam pertemuan tersebut, pihak Kedutaan mengalu-alukan usaha dan keberadaan universiti di Malaysia untuk mengadakan kerjasama dengan universiti dan penerbit di Indonesia. Galakan ini termasuk usaha dan perancangan untuk mengadakan wacana dengan penyertaan dan kerjasama universiti di Indonesia, khususnya dalam kalangan pelajar. Wacana berkenaan dicadangkan memberi keutamaan kepada kupasan
terhadap karya-karya Sasterawan Negara yang dilaksanakan sama ada di Kedutaan atau universiti di Indonesia.

Selain itu, Kedutaan turut menyeru semua universiti awam untuk turut serta dalam program “Ayo Kuliah di Malaysia” anjuran Kedutaan Besar Malaysia Jakarta; Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Education Malaysia Indonesia.

Program kolaborasi Malaysia-Indonesia ini dianjurkan untuk mempromosikan kursus dan pengajian yang ditawarkan di institut pengajian tinggi (IPT) di Malaysia kepada masyarakat Indonesia, terutamanya dalam kalangan generasi muda dan pelajar untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, TYT Zainal Abidin Bakar, hari ini (5 Sept.) turut meluangkan masa berkunjung ke Reruai Penerbit Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia 2019, dan disambut oleh kumpulan delegasi penerbit yang akan berada di sana mempamerkan karya terbaik Malaysia sehingga 8 September 2019.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *