Life News Agency

every story is about real news, real people and real event

Kerajaan akan Berbincang dan Bekerjasama dengan Indonesia untuk Mengatasi Jerebu Merentasi Sempadan

DI BAHU KANAN –EN. TIONG LI HIN, PENOLONG PENGARAH OPERASI BOMBA NEGERI SARAWAK
BAHU KANAN YBTM – EN. AHMAD SAIFFUL B. SALIHIN, KETUA PENOLONG PENGARAH KANAN (OPERASI), JABATAN ALAM SEKITAR SARAWAK

6 SEPT 2019, KUCHING – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang direkodkan pada hari ini di seluruh Malaysia pada jam 8:00 pagi menunjukkan 61 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

Walaubagaimanapun, 6 lagi stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini iaitu di Kuching (IPU 125), Samarahan (IPU 120), Sri Aman (IPU 166), Sibu (IPU 123), Miri (IPU 133) dan Sarikei (IPU 109).

Berdasarkan laporan ASMC pada 4 September 2019, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 19 mengesan sejumlah 699 titik panas (hotspots) di Indonesia – (229) di Sumatera dan (470) di Kalimantan; dan hanya 9 titik panas dikesan di dalam negara iaitu di Pahang (1), Johor (1), Selangor (1) dan Sarawak (6).

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaraskan tindakan-tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

Jabatan Alam Sekitar juga akan terus memantau kualiti udara di seluruh negara pada setiap jam.

Siasatan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan ke atas titik-titik panas yang dikenapasti di dalam negara. Walaubagaimanapun, jerebu merentas sempadan adalah punca utama jerebu di seluruh negara.

Pada 6 Ogos 2019, Malaysia telah membangkitkan isu jerebu rentas sempadan dalam Mesyuarat Ke-21 Technical Working Group (TWG) dan Sub-Regional Ministerial Steering Committee (MSC) on Transboundary Haze Pollution yang turut dihadiri oleh Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Thailand. Dalam mesyuarat ini negara ahli MSC telah berikrar untuk berwaspada, memantau, mempertingkat langkah-langkah pencegahan bagi meminimakan sebarang kejadian jerebu rentas sempadan semasa cuaca panas dan kering di antara bulan Ogos hingga Oktober 2019. Negara
ahli MSC juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama menangani
pencemaran jerebu merentas sempadan secara berkesan selaras dengan Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation. Berdasarkan komitmen yang telah diberikan semasa, adalah dipercayai bahawa semua negara ahli MSC sedang berusaha sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah jerebu rentas sempadan pada ketika ini.


Sehubungan dengan itu, Malaysia akan terus berkerjasama dengan negara jiran terutamanya Indonesia bagi menangani isu jerebu rentas sempadan. Di peringkat kementerian, MESTECC akan menyelaras agar nota diplomasi dikemukakan kepada pihak Indonesia supaya tindakan segera diambil untuk memadamkan kebakaran dan mencegah kebakaran daripada berulang.

Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan dan semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja. Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang awam terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka,
bekerjasama memadam kebakaran-kebakaran kecil dan melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.


KEMENTERIAN TENAGA, SAINS, TEKNOLOGI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM DAN JABATAN ALAM SEKITAR
6 SEPTEMBER 2019

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *