LNA

Social Studies & Media Agency

Pasukan Khas Saringan Covid-19 MOSTI-KPT dibentuk – Khairy

25 Mac 2020 – Bagi menyokong dan mendukung sasaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencapai 16,000 ujian sehari bermula April ini, seperti diumumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah, MOSTI telah mengambil inisiatif untuk membentuk satu Pasukan Khas Saringan Covid-19 bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Khairy Jamaluddin di dalam satu kenyataan media semalam, seperti diputuskan di dalam mesyuarat MOSTI – KPT pada Jumaat lepas, kedua-dua kementerian telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan khas saringan MOSTI-KPT, bagi melaksanakan ujian saringan Covid-19 di 10 buah makmal diagnostik iaitu di institut penyelidikan di bawah MOSTI (sebuah makmal bergerak), institut pengajian tinggi serta di hospital universiti.

“Kesemua makmal ini mampu melaksanakan sebanyak 1,414 ujian sehari. Pihak KKM menerusi Institute for Medical Research (IMR) juga akan melatih staf/kakitangan makmal saringan Covid-19 dengan protokol standard yang bakal diwujudkan. Ini bermakna sebanyak 42,420 ujian saringan akan dilaksanakan oleh institut penyelidikan dan IPT dalam tempoh 30 hari bagi membantu meringankan beban KKM.

Inisiatif ini juga merupakan hasil perbincangan saya dengan Menteri Kesihatan Malaysia, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba serta Menteri Komunikasi dan Mutimedia, YB Dato’ Saifuddin Abdullah melalui Mesyuarat Kerjasama Strategik KKM-MOSTI-KKMM yang kami pengerusikan secara bersama bagi mengawal penularan wabak Covid-19 pada 23 Mac 2020 di Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan Malaysia.” kata Khairy.

Khairy juga berkata bahawa MOSTI sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi mengekang penularan wabak tersebut selaras dengan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April 2020.

“Antaranya adalah mempercepatkan proses penilaian kit ujian diagnostik Covid-19 yang dibangunkan oleh Syarikat Medical Innovation Ventures Sdn. Bhd. (Mediven) yang dibiayai menerusi Malaysia Technology Development Corporation (MTDC).

MOSTI juga sedang membangunkan aplikasi pemetaan kawasan penularan Covid-19 yang akan membantu pihak berkuasa melakukan pemantauan yang lebih rapi serta sebagai amaran dan peringatan kepada orang ramai untuk menjauhi kawasan terlibat.” terang Khairy.

Jesteru, Khairy menasihatkan orang ramai akan kekal tenang dan mematuhi PKP sehingga 14 April ini dengan duduk di rumah supaya sama-sama dapat mengekang penularan Covid-19.

“Diharapkan usaha kami ini dapat dilaksanakan secara berkesan kerana tugas menangani wabak Covid-19 ini bukan terletak di bahu KKM semata-mata tetapi perlu turut digalas oleh semua agensi kerajaan dan masyarakat.” kata Khairy.

Semalam KKM memaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 20 kes.

Kes kematian ke-20 ini merupakan kes ke-780, lelaki warganegara Malaysia berumur 76 tahun. Beliau telah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. Beliau telah dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, Kelantan mulai 18 Mac 2020. Beliau disahkan meninggal dunia pada 4.35 petang, 25 Mac 2020.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *