LNA Agency

Social Studies & Media Agency

Kenyataan Akhbar KPK 10 Februari 2020 – Situasi Terkini Kejadian 2019-nCoV di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin merujuk kepada berita tular di media sosial mengenai seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun yang bekerja di Macau, China dan mempunyai sejarah perjalanan melawat ke tanah besar China sebelum kembali ke Malaysia pada 1 Februari 2020.

Beliau mula merasa tidak sihat dan batuk pada 3 Februari 2020. Pada 4 dan 6 Februari 2020 beliau telah pergi ke klinik dan telah diberi ubat. Pada 7 Februari 2020, beliau masih tidak sihat dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan di mana selanjutnya pada hari yang sama beliau telah dirujuk ke Hospital Banting, Selangor untuk pemeriksaan dan rawatan. Setelah disaring dan disiasat beliau dikesan mengalami radang paru-paru (pneumonia) dan telah dimasukkan ke hospital tersebut.

Pemeriksaan seterusnya mendapati beliau menghidap Severe Acute Respiratory Infection (SARI) dan memerlukan pemantauan rapi. Beliau seterusnya telah dirujuk dengan segera ke Hospital Sungai Buloh. Pihak hospital sudah pun memulakan rawatan dan menjalankan siasatan lanjut. Sampel klinikal pesakit telah diambil dan pada 9 Februari 2020 telah disahkan positif 2019-nCoV.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah pun dimaklumkan untuk mengambil tindakan siasatan, pengesanan kontak rapat, langkah pencegahan dan kawalan. Saya ingin menasihatkan penduduk di daerah Banting agar bertenang. Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan sewajarnya dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa. KKM juga ingin menyeru orang ramai agar sekiranya memerlukan penerangan mengenai penyakit ini atau ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu kejadian penyakit, hubungilah hotline di CPRC Kebangsaan di talian berikut:

03 88810200

03 88810600

03 88810700

Atau emel: cprc@moh.gov.my

Sekian terima kasih

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
10 Februari 2020

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *