Life News Agency

real people, real stories

Seramai 19 orang pelajar AUP warganegara Malaysia dipindahkan dari Batangas ke Manila

PUTRAJAYA 14 Januari 2020 – Seramai 19 orang pelajar warganegara Malaysia yang sedang menuntut di Adventist University of the Philippines (AUP) telah dipindahkan dari Batangas ke Manila oleh Kementerian Luar Negeri (MOFA) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila semalam.

Menurut MOFA di dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, kesemua pelajar telah dipindahkan ekoran daripada keadaan yang semakin kritikal, termasuk pengisytiharan cuti kecemasan yang telah diumumkan oleh Pejabat Presiden Filipina.

“Warganegara Malaysia disarankan untuk menangguhkan perjalanan ke kawasan yang terjejas akibat bencana ini sekiranya tiada keperluan mendesak.

Warganegara Malaysia yang terkesan dan memerlukan bantuan adalah dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila. Sebarang perkembangan terkini mengenai bencana ini akan dimaklumkan daripada semasa ke semasa. ” kata MOFA.

Pada 12 Januari 2020, gunung berapi Taal memuntahkan abu sehingga 1,000 meter tinggi ke udara. Media antarabangsa melaporkan abu panas memenuhi ruang udara sehingga lebih 100 kilometer dan menjejaskan ibu kota Manila sehingga memaksa lapangan terbang utama negara ditutup dengan lebih 500 penerbangan dibatalkan.

Taal merupakan satu daripada gunung berapi paling aktif di Filipina di mana ia telah meletus lebih 30 kali dalam tempoh lima abad lalu. Pada tahun 1911 letusan gunung berapi tersebut telah mengorbankan seramai 1,500 orang.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *