LNA

Social Studies & Media Agency

Kes Serbuan Penyalahgunaan Dadah : KPN bidas laporan salah fakta

14 Januari 2020 – Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador pada hari ini melahirkan rasa terkilan dengan status Facebook Berita Harian Online yang berbunyi ‘IDENTITI INDIVIDU YANG DITAHAN DALAM SERBUAN PENYALAHGUNAAN DADAH PAGI TADI BELUM DAPAT DISAHKAN – KPN, TAN SRI ABDUL HAMID BADOR’ yang telah dimuat naik semalam. Bagaimana pun posting tersebut telah dipadamkan.

Sidang media KPN bersama pengarah-pengarah PDRM pada 13 Januari 2020.
Sumber Foto Facebook Live PDRM

“Saya memandang serius kesilapan fakta yang dilaporkan oleh agensi berita tersebut kerana ia jauh tersasar daripada apa yang saya sebut semasa sidang media yang diadakan pada 13 Januari 2020, sehingga ia menjadi bahan untuk pelbagai pihak mengkritik dan memperlekehkan saya sebagai Ketua Polis Negara (KPN).

Apa yang saya nyatakan sebagai menjawab soalan media yang mahu mengetahui identiti individu-individu yang ditangkap semasa serbuan dibuat di sebuah kondominium pada 12 Januari 2020 ialah ‘Saya tidak boleh mendedahkan maklumat tersebut kerana siasatan polis masih di peringkat awal dan ianya adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang’ ” tegas beliau.

Tambah Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador media sepatutnya menjadi penyampai maklumat yang tepat dan seterusnya tidak boleh menyiarkan fakta yang tidak benar sehingga menjejaskan kewibaan dan imej pihak lain. Perbuatan tersebut juga dilihat boleh membangkitkan rasa tidak puas hati dan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap pihak berkuasa.

Rakaman penuh sidang media KPN bersama pengarah-pengarah PDRM boleh ditonton di SINI.

Semalam media melaporkan bahawa pihak polis telah menahan beberapa individu di atas kesalahan menggunakan dadah dan menganjurkan permainan judi di dalam sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad yang dikatakan melibatkan beberapa orang ahli politik termasuk beberapa orang pegawai khas kepada beberapa orang Menteri.

Berhubung dengan kes itu, Menteri Dalam Negeri, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan campur tangan di dalam kes penahanan tersebut dan turut menafikan bahawa salah seorang yang ditahan merupakan pegawai khas beliau tetapi hanya merupakan seorang kakitangan di ibu pejabat parti PPBM (Bersatu).

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *