LNA

Social Studies & Media Agency

Di mana tidak sahnya MKI dan JAKIM? – Mujahid

PUTRAJAYA 13 Januari 2020 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr.Mujahid Yusof pada hari ini membidas laporan Kumpulan G25 yang mendakwa kerajaan telah meminggirkan Perlembagaan apabila mewujudkan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sumber foto Facebook Rasmi YB Datuk Seri Dr.Mujahid Yusof

Di dalam posting di Facebook rasminya pada hari ini, Dr.Mujahid menyatakan bahawa penubuhan MKI lahir dari perkenan Majlis Raja-Raja Melayu Kali Ke-8 manakala penubuhan JAKIM pula lahir dari punca kuasa jelas di sisi Perlembagaan menurut Perkara 3, Perkara 12(2), Perkara 121(1A), dan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka dimana ia bercanggah dengan Perlembagaan? Jika Kerajaan Persekutuan boleh menentukan suatu peruntukan kewangan atau bajet untuk pentadbiran Islam di Malaysia.

Telah dijelaskan kepada mereka, sebahagian besar bajet pentadbiran Islam diperuntukkan untuk gaji dan elaun kepada para Imam, Guru Takmir, Bilal, Siak dan Guru KAFA seluruh Malaysia. JAKIM bertindak sebagai badan menyelaras peruntukan ini, bukan mencampuri urusan pentadbiran agama setiap negeri.

Apakah mereka tidak memikirkan, peruntukan besar ini dibayar gaji dan elaun kepada mereka yang berkhidmat kepada anak bangsa kita di kampung-kampung, mengajar agama, mendidik mereka menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. ” kata Dr. Mujahid.

Mengulas dakwaan JAKIM mencampuri undang-undang dan penguatkuasaan di negeri-negeri, beliau menegaskan bahawa JAKIM tidak mencampuri urusan undang-undang dan penguatkuasaan di negeri, dimana ia berada di bawah kuasa Duli Tuanku Sultan masing-masing.

“JAKIM hanya memberikan satu Kod Etika Pegawai Agama 2019 dijadikan satu panduan kepada negeri-negeri dalam menentukan SOP penguatkuasaan undang-undang Islam di negeri mereka.” kata Dr. Mujahid.

Beberapa hari yang lepas, G25 telah mengeluarkan laporan bertajuk Perkara Pentadbiran Mengenai Islam dan di dalam laporan itu menyatakan bahawa tiada peruntukan di dalam Perlembagaan untuk kedua-dua agensi iaitu MKI dan JAKIM ditubuhkan di peringkat nasional. Oleh kerana penubuhan MKI dan Jakim tidak melibatkan Parlimen dan Perkara 76, laporan G25 itu turut menyebut apa jua nasihat dan cadangan yang dikeluarkan oleh kedua agensi ini akan kekal sebagai nasihat.

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *